Persoalan:

Ada yang kata wahdatul-wujud ini sesat; ada yang kata tidak. Kalau benar ulama tersohor Al-Fansuri dan Ar-Raniri mengamal fahaman wahdatul-wujud, siapalah kita untuk mengatakan wahdatul-wujud sesat?

Jawapan;

Kefahaman yang sebenar tentang wahdatul-wujud menurut kaum sufi yang benar adalah suatu kefahaman yang murni dan bertepatan dengan aqidah Islam iaitu, melihat seluruh wujud makhluk tidak wujud dengan diri mereka sendiri, tetapi wujud dengan Allah s.w.t. (dengan bantuan dan kekuasaanNya).

Adapun orang-orang yang jahil yang cuba menyesatkan kaum sufi dalam masalah ini, sebenarnya tidak memahami wahdatul-wujud dengan maknanya yang sebenar menurut fahaman kaum sufi berkenaan.

Begitu juga, golongan orang yang sesat dalam fahaman wahdatul-wujud denganmendakwa ketuhanan diri, mendakwa hulul dan ittihad, merupakan golongan yang tertolak di sisi kaum sufi itu. Kefahaman mereka bukanlah kefahaman kaum sufi terhadap wahdatul-wujud kerana kaum sufi memahami wahdatul-wujud dengan maksud wahdatus-syuhud, bukan dengan maksud hulul (Tuhan menempati makhluk) dan ittihad (Tuhan bergabung dengan makhluk).

Golongan yang sesat ini juga akhirnya mendakwa sudah sampai kepada Allah s.w.t. dan mencapai darjat makrifat, lalu mendakwa bahawa dirinya sebagai tuhan, kerana tuhan wujud dalam setiap makhluk. Hasil daripada dakwaan itu, mereka mendakwa diri mereka tidak perlu melakukan syariat dan ketaatan kerana mereka adalah tuhan, atau tuhan sudah wujud dalam diri mereka. Ini suatu kesesatan yang nyata, yang diengkari sendiri oleh para sufi yang benar.

Para ulama’ sufi seperti Imam Ibn ‘Arabi r.a., Imam Abdul Karim Al-Jili r.a., Sheikh Ibn Al-Faridhi r.a., Sheikh Ali ibn Wafa dan sebagainya, berlepas tangan daripada fahaman sesat ini, bahkan turut membantah kesesatan ini secara keras.

Imam Ibn ‘Arabi berkata dalam Al-Futuhat pada bab Al-Isra’:

“Sesiapa yang mendakwa akan hulul, bererti dia telah sesat. Ini kerana, orang yang berkata tentang hulul itu berpenyakit yang tidak dapat diubati. Sesiapa yang membezakan antara di antara diri kamu dengan diriNya, maka kamu telah menetapkan dirimu dan diriNya. Tidakkah kamu mendengar sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: “Maka Aku jadi pendengarannya yang Dia mendengar dengannya”. Dia menetapkan dirimu dengan menunjukkan dirimu dalam hadith tersebut. Sesiapa yang mendakwa ittihad merupakan orang yang athies, seperti yang mendakwa hulul juga, merupakan orang yang jahil dan melampau. Ini kerana dia menisbahkan hal yang mustahil. Sesiapa yang membezakan dirinya dengan Allah s.w.t., maka dialah yang benar.”

Malangnya ada pihak yang menuduh Imam Ibn A`rabi ini sesat dan kafir kerana tidak meletakkan makna wahdatul wujud itu kena pada juzuknya mengikut pandangan Ibn Arabi itu sendiri dan ahli sufi yang benar. Semua pendapat itu adalah rekaan, pengeliruan yang sesat dan tidak benar dari segi maknanya, rendah dari segi nilai falsafahnya, dan begitu asing dari suasana keIslaman, yang menggambarkan dari segi makna dan bentuknya hanya sengaja direka-reka..

Soal-jawab mengenai wahdatul wujud…manunggaling kawula gusti

Leave a Reply

Your email address will not be published.