A. pengenalan

Setelah sekian lama saya mengkaji tentangnya terbuku di mata hati saya dialah idola saya, juga sewajarnya menjadi idola jenerasi kini yang sebangsa dan seagama dengan saya. Nama penuh permata kebanggaan ulama’ Nusantara ini ialah Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zain Bin Wan Mustafa al-Fatani. Menurut Ahmad Fathi al-Fatani (2001: 55) Syeikh Ahmad al-Fatani berasal dari keturunan para muballigh agama Islam yang datang dari Hadhramaut. Dikatakan bahawa nasab silsilahnya bertalian dengan Saidina Abbas Bin Abdul Mutalib, bapa saudara Rasulullah S.A.W. Wan Mohd Shaghir Abdullah pula (2005:13), yang juga cucu kepada Syeikh Ahmad al-Fatani pula menyatakan bahawa, nama lengkap Syeikh Ahmad al-Fatani ialah: Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zainal Abidin Bin Datu Panglima Kaya Syeikh Haji Wan Mushthafa Bin Wan Muhammad Bin Wan Muhammad Zainal Abidin (Faqih Wan Musa al-Jambui al-Sanawi al-Fatani) Bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi Bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Walau bagaimanapun, menurut Wan Shaghir lagi, nasab yang sahih dan ditahqiq dari Syeikh Ahmad al-Fatani sendiri ialah: Ahmad Bin Zainal Abidin Bin Haji Wan Mushthafa Bin Wan Muhammad Bin Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fatani. Jika diteliti, asal usul nasab Syeikh Ahmad merupakan golongan ulama’ yang mashur. Datuk beliau Syeikh Mustafa Bin Muhammad (meninggal 1863 M) merupakan seorang ulama’ masyhur pada zamannya. Beliau juga merupakan salah seorang hulu balang Sultan Fatani Darus Salam. Selepas tentera Raja Patani kalah perang dan dijajah bangsa Siam, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Sena Janjar, dalam kawasan kampung Sena, daerah Jambu. Dikatakan beliau mendapat ‘pembukaan’ dari Allah dengan diperlihatkan air telaganya melimpah keluar pada suatu malam akhir Ramadan, yang beliau fahami sebagai petanda malam Lailatu al-Qadar. Beliau telah berdoa pada sisi telaga itu agar empat orang anak lelakinya menjadi ulama’ dan setiap zuriat daripada anaknya itu, ada yang menjadi ulama’ sampai ke hari Qiamat. Empat anak lelakinya telah menjadi ulama terbilang. Anak pertamanya, Syeikh Muhammad Zain, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fatani. Anak keduanya, Syeikh Abdul Qadir, yang dikenali sebagai Tok Bendang Daya II. Anak beliau yang ketiga pula ialah Syeikh Wan Abdul Latif telah bergiat di Bangkok, sementara anak yang keempat ialah Syeikh Wan Daud yang menjadi guru di Makkah (Wan Shaghir 2005: 25-27). Ayah Syeikh Ahmad al-Fatani pula, iaitu Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fatani (meninggal 1908 M), kemudian disingkatkan dengan Syeikh Muhammad Zain juga merupakan ulama’ yang tersohor. Aktiviti sepanjang hayatnya ialah mengajar di Pondok Sena Janjar dan kemudian mengajar pula di Makkah. Syeikh Muhammad Zain juga telah menghasilkan beberapa karangan, antaranya sebuah perbahasan tentang haji dan sebuah lagi membicarakan Tharikat Syathariyah. Antara murid beliau yang terkenal ialah Dato’ Abdullah Bin Musa (meninggal 1907 M) yang pernah menjawat jawatan Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor. Ibu Syeikh Ahmad pula adalah berketurunan daripada Syeikh Shafiyuddin yang berasal daripada keturunan Sayyidina Abbas Bin Abdul Mutallib, iaitu bapa saudara Rasulullah S.A.W.. Menurut riwayat, Syeikh Shafiyuddin berasal dari Pasai (Aceh). Dari catatan keturunannya beliau berketurunan Khalifah al-Muctasim Billah dari keluarga Bani Abbasiah. Datuk neneknya datang ke Pasai untuk menyebarkan Islam. Syeikh Shafiyudin datang ke Paya Patani pada tahun 1400 Masihi untuk menyebarkan Islam dan telah berjaya mengislamkan Raja Antira di Patani. Semua catatan sejarah Patani menceritakan peristiwa tersebut. Beliau juga digelar Dato’ Seri Raja Faqeh. Syeikh Shafiyuddin juga telah mengarang beberapa buah kitab dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Antaranya ialah kitab ’Tarikh Patani’ dalam bahasa Arab, dan ’Kitab Sia-Sia Berguna’ sebuah kitab perubatan (Wan Shaghir,2005: 33-34). 3.2.2 Kelahiran Syeikh Ahmad al-Fatani Syeikh Ahmad al-fatani dilahirkan pada malam Jumaat 5 Syaaban 1272 Hijrah bersamaan 10 April 1856 Masihi di kampung Jambu, Fatani (Ahmad Fathi,2001: 55). Beliau sendiri telah menulis tentang kelahirannya di dalam kitabnya Hadiqat al-Azhar (1321 H:178-179) dengan menyebut: (Faedah) Diperanakkan Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa Bin Muhammad Fatani pada malam jumaat waktu jendera budak 5 haribulan Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada bulan 5 daripadanya dengan istilah Siam pada hari yang keenam daripada bulan yang keenam pada istilah Melayu dan tempat beranaknya pada kampong Jambu, negeri Jerim daripada bumi Patani dan mansya’nya kampong Jambu itu dan Kampong Sena Janjar. Menurut Wan Shaghir (2005:37-38) terdapat berbagai-bagai cerita mitos tentang kelahiran Syeikh Ahmad al-Fatani. Antaranya ialah tentang ibunya yang bermimpi melihat isi ubi bertimbun-timbun, lalu dengan serta merta semuanya pecah berderai. Di mana saja tempat jatuhnya pecahan ubi tersebut maka akan tumbuh ubi yang baru pula. Mimpi ini terjadi pada tiga malam Jumaat berturut sebelum kelahiran Syeikh Ahmad al-fatani. Ibu Syeikh Ahmad bertemu alim ulama’ untuk mengetahui tafsiran mimpi tersebut. Alim ulama’ menta’birkan bahawa anak yang dikandung itu akan membawa rahmat dan ahli ilmu. Ilmu yang berasal daripadanya akan berkembang lagi. Di mana saja muridnya pergi maka mereka dapat menyebarkan ilmu yang berasal daripadanya. Tiba-tiba pada malam Jumaat berikutnya, lahirlah anak yang dikandung itu iaitu Syeikh Ahmad al-Fatani. 3.2.3 Kewafatan. Syeikh Ahmad al-Fatani menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Zulhijjah 1325 H bersamaan 14 Januari 1908 M di Mina dalam usia 52 tahun. Jenazahnya dibawa ke Makkah dan disemadikan di perkuburan Ma’ala, Makkah al-Mukarramah. Kuburnya terletak di bawah kaki Siti Khadiah R.A, Ummu al-Mukminin, isteri pertama Rasulullah SAW (Wan Shaghir, 2005:117) .

B. PENDIDIKAN

Pada mulanya Syeikh Ahmad al-Fatani dididik oleh bapanya sendiri iaitu Haji wan Muhammad Zain atau juga dikenali dengan Wan Din Bin Syeikh Wan Mustafa. Selepas itu beliau berguru pula dengan bapa saudaranya Syeikh Wan Mustafa yang terkenal dengan gelaran ’Tok Guru Bendang Daya II’ merupakan seorang guru pondok yang sangat terkenal di Patani pada pertengahan kedua abad kesembilan belas Masihi (Ahmad Fathi:55). Selanjutnya, ketika berusia empat tahun beliau telah dibawa oleh ayahandanya dan ibundanya menetap di Makkah. Mengikut catatan Syeikh Abdullah Mirdad pula, ketika itu beliau berusia enam tahun. Ketika di Makkah, beliau belajar pula dengan para ulama’ Makkah. Mengikut keterangan Syeikh Abdullah Mirdad (1978) Syeikh Ahmad Ahmad al-Fatani telah menghafaz al-Quran dan beberapa matan. Antara guru yang sering beliau dampingi ialah Sayyid Umar al-Syami al-Buqaciy, dengannya beliau mendalami pelbagai disiplin ilmu seperti bahasa Arab, usuluddin, tafsir, hadis, feqah, macani, bayan, carudh dan lain-lain lagi. Dalam usia yang masih muda beliau telah diijazahkan dan diizinkan mengajar. Beliau merupakan seorang guru yang alim, juga seorang penyair. Wan Shaghir (2005) mengatakan bahawa ketika di Makkah Syeikh Ahmad al-Fatani tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar, dia belajar secara sembunyi-sembunyi. Dengan demikian kedua-dua orang tuanya mula rasa resah jika hal demikian berterusan. Namun, keadaan tersebut terubat apabila ibu bapanya mendapati beliau dapat menjawab pelbagai soalan yang diajukan dan dapat menghafaz matan-matan melebihi kawan-kawannya yang lain. Ketika berumur dua belas tahun beliau telah sanggup mengajar ilmu nahwu dan saraf kepada orang dewasa. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fatani telah berangkat ke Baitu al-Maqdis untuk menimba ilmu. Diriwayatkan, beliau telah meminum air kencingnya sendiri kerana ketiadaan air minuman ketika perjalanan tersebut. Di Baitu al-Maqdis, beliau telah mempelajari ilmu perubatan dan ilmu-ilmu agama dengan ulama’ di sana. Setelah dua tahun menimba ilmu di Baitu al-Maqdis, beliau pulang ke Makkah. Namun kedua ibu bapanya agak terkejut kerana dalam kehidupan seharian beliau tidak kelihatan seperti seorang ulama’, sebaliknya seorang tabib yang hanya mahir dalam membuat berbagai-bagai jenis ubat-ubatan. Lantas, ayahandanya menyuruhnya memperdalamkan lagi ilmu pengetahuan agama agar menjadi seperti ulama’-ulama’ lampau Fatani Dar al-Salam seperti Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani. Harapan ayahandanya itu ternyata telah menyentuh lubuk hatinya, lantas beliau berangkat menuju Mesir kerana ketika itu Al-Azhar di Mesir cukup terkenal sebagai pusat ilmu pengetahuan Islam (Wan Shaghir: 41-43). Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan antara golongan pertama anak melayu yang diterima masuk belajar di Universiti al-Azhar lebih dikenali pada ketika itu dengan ”Masjid Jami’ al-Azhar” . Al-Azhar pada ketika itu sedang dalam proses peralihan dari sistem tradisional kepada sistem pendidikan moden. Disebabkan beliau seorang sahaja dari Dunia Melayu yang menuntut di situ, beliau telah berusaha memperkenalkan dunia Melayu kepada tokoh-tokoh penting di universiti tersebut dengan tujuan memudahkan pelajar-pelajar daripada negeri Melayu dapat memasuki al-Azhar dikemudian hari. Selain itu Syeikh Ahmad al-Fatani telah memperkenalkan ”Ruwwaq al-Jawi” juga di al-Azhar ditengah-tengah ruwwaq-ruwwaq yang lain.Walaupun keseorangan namun beliau tetap menggunakannya. Setelah beliau pulang ke Makkah, barulah anak-anak Melayu makin ramai menjadi mahasiswa al-Azhar. Mereka semuanya adalah murid Syeikh Ahmad al-Fatani yang diutuskannya untuk belajar di universiti tersebut bagi memperdalamkan ilmu pengetahuan demi memajukan umat Melayu pada peringkat awal menuju ke zaman moden. Semua mereka akhirnya itu telah menjadi tokoh-tokoh penting dalam perkembangan Islam dan bangsa Melayu di Dunia Melayu. Syeikh Ahmad al-Fatani tidak pernah mendapat kiriman wang daripada ayahandanya. Ini kerana beliau sendiri yang tidak mahu menyusahkan kedua ibubapanya disamping mahu hidup berdikari. Sungguhpun dihimpit kesusahan hidup di perantauan namun tiada apa yang dapat menggagalkannya dalam usaha menuntut ilmu. Ini terbukti apabila Syeikh Ahmad al-Fatani telah berjaya menyusun beberapa risalah ketika beliau menuntut di Masjid Jami’ al-Azhar. Semua karya tersebut adalah dalam bahasa Arab dan digubah dalam bentuk syair yang begitu indah. Antara risalahnya itu ada yang di salin dan dipelajari oleh pelajar-pelajar tingkat awal di Mesir dan negeri-negeri lain di Benua Afrika. Antara risalah –risalah tersebut ialah (Wan Shagir 2005: 53) : i- Jumanat al- Tauhid (1293 H/ 1876M) ii- Munjiat al-‘Awwam liManhaji al- Huda mina al- Zhalam (1293 H/ 1876 M ) iii- Unqud al- La’ali (1296 H/1879 M) iv- Manzumat al-Awamil (1296 H/ 1879 M) Ketika di Mesir juga Syeikh Ahmad al-Fatani mula terlibat dengan usaha mencetak dan mentashih kitab-kitab Melayu Jawi. Dengan anisiatif beliau maka sahabat beliau iaitu Syeikh Mustafa al-Babi al-Halabi telah banyak mencetak kitab-kitab Melayu Jawi yang sebelumnya hanya disalin dengan tulisan tangan. Setelah tujuh tahun menimba ilmu pengetahuan di Bumi Kinanah itu, beliau pun pulang ke Makkah. Dalam usia belum sampai 30 tahun beliau telah digelar sebagai Syeikh Ahmad al-Zaki Mesir (yang bijak dari Mesir) oleh orang-orang Melayu Makkah. Pada tahun kepulangannya itu juga, Syarif Hussin Raja Makkah mengadakan pertandingan dakwah dan pidato di Masjid al-Haram. Perkara yang menjadi perhatian pada pertandingan tersebut ialah nilai-nilai sastera atau balaghah dalam bahasa Arab. Banyak ulama’ Arab Makkah mengambil bahagian dan Syeikh Ahmad al-Fatani pun turut menyertainya. Pertandingan tersebut ternyata telah menyerlahkan kewibaan Syeikh Ahmad al-fatani. Beliau telah diumumkan sebagai juara pertandingan tersebut. Mulai peristiwa itu, nama beliau semakin dikenali oleh penduduk Makkah. Hasil daripada pertandingan tersebut juga beliau juga telah dilantik oleh Syarif Hussin sebagai ahli bahasa kerajaan. Tugas beliau ialah memeriksa surat-surat rasmi kerajaan yang penting-penting sebelum diposkan. Demikian juga beliau berperanan menggubah semua syair-syair yang hendak dijadikan sebagai syair rasmi kerajaan (Wan Shaghir 2005: 54-56).

C. GURu-GURU, ULAMA’ SEZAMAN DAN MURID-MURIDNYA

Antara guru-guru Syeikh Ahmad al-Fatani yang terkenal ialah ketika di Makkah dan Madinah: 1. Syeikh Umar al-Syami al Baqa’ie (1313 H) 2. Sayyid Hussein al-Habsyi (1330 H) 3. Syeikh Ahmad bin Zaini Dahlan (meninggal 1304 H) 4. Syeikh Hasbullah atau Muhammad bin Sulaiman (meninggal 1917 M) 5. Syeikh Muhammad Haqqi al-Nazili 6. Sayyid Muhammad Amin al-Ridhwan 7. Sayyid Muhammad Ali Bin Sayyid Zhahir al-Watri 8. Syeikh Abdul Qadir al-Syibli al-Tharablusi 9. Syeikh Ibrahim al-Rasyidi ( 1291 H) 10. Syeikh Ahmad al-Dandarawi (1327 H) 11. Syeikh Nik Dir al-Fatani atau nama penuhnya Abdul Qadir bin Abdul Rahman (meninggal 1898 M) 12. Syeikh Wan Muhammad Ali Kutan Bin Abdul Rahman al-Kelantani (meninggal 1913 M) 13. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani atau nama sebenarnya Muhammad Bin Ismail (meninggal 1915 M) Sementara itu, antara guru beliau beliau yang terkenal ketika di Mesir ialah Syeikh Mustafa Afifi. Antara ulama’ Melayu yang sezaman dengan Syeikh Ahmad dan turut sama-sama mengajar di Masjid al-Haram Makkah ialah: 1. Syeikh Jamaluddin Bin Idris dari negeri Sembilan (meninggal 1305 H) 2. Syeikh abdul Rahman Bin Muhammad Ali berasal daripada Fatani (meninggal Ahmad Bin Mahmud 1915 M) 3. Syeikh Ahmad Khatib Bin Abdul Latif dariapada minangkabau(1916 M) 4. Syeikh Ahmad Bin Mahmud Yunus daripada Lingga 5. Syeikh Usman Bin Abdul Wahhab daripada Sarawak 6. Syeikh Usman Bin Shihabuddin daripada Pontianak, kalimantan. 7. Syeikh Abdul Salam Kampar, Sumatra. 8. Syeikh Khatib Kumango, Batu Sangkar, Sumatra. 9. Syeikh Abdul Mutallib Bin Tuan Abdullah Faqeh daripada Kelantan. Sebagai ulama’ besar Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan mahaguru kepada ulama’ulama’ dan tokoh-tokoh besar yang bertebaran di serata pelusuk Asia Tenggara pada abad ke-19 dan 20 (Wan Shaghir 1992). Antara ulama’ yang lahir dari didikan rabbani Syeikh Ahmad al-Fatani ialah : 1. Dato’ Hj. Abdullah Bin Musa al-Kelantani, musti kerajaan Johor (M. 1916) 2. Hj. Wan Ishak Bin Imam Hj. Abdullah, Mufti Kerajaan Kelantan (M. 1915) 3. tuan Guru Hj Umar Bin Ismail , sungai Keladi. 4. Tok Kemuning iaitu Hj Ismail Bin Hj Senik (M 1934) 5. Tok Kenali atau nama sebenarnya Hj. Muhammad Yusuf Bin Ahmad, Guru pondok paling berpengaruh di Kelantan, merupakan anak murid kesayangan Syeikh Ahmad.(meninggal 1933) 6. Tok Selihong iaitu Hj Abdul Rahman Syairb Bin Hj. Usman (M. 1935) 7. Tok Padang Jelapang, Hj. Wan Ahmad Bin Hj. Abdul Halim. (M. 1935) 8. Hj. Wan Musa Bin Hj. Abdul Somad, mufti Kerajaan Kelantan (M. 1939) 9. Dato’ Hj. Muhammad Bin Dato’Hj. Muhammad Said Khatib, Setiausaha Kerajaan Kelantan (M.1939) 10. Tuan Guru Hj. Ismail Bin Hj. Mahmud (1941) 11. Tuan Guru Hj. Muhammad Soleh Bin Hj. Hasan 12. Hj. Wan Musa Bin Wan Ahmad, Imam rantau Panjang (M. 1942) 13. Hj. Ismail Bin Hj. Abdul Majid al-Kelantani, Mufti Kerajaan Pontianak (1950) 14. Tuan Guru Hj. Wan Abdullah Bin Ismail, Geting(M. 1952) 15. Tuan Guru Hj. Ismail Kecik Bin Abdul Wahhab, nering (1953) 16. tok Bacok, hj, Usman Bin Hj. Muhammad (1953) 17. Tok Raja, Hj. Ibrahim Bin Muhammad Yusuf, Mufti Kerajaan Kelantan. (1955) 18. Tok Pulau Ubi, Hj, Yususf Bin Abdul Rahman 19. Dato’ Hj. Nik Mahmud Bin Hj. Ismail Qadhi, Menteri Besar Kelantan selama suku abad (1964) 20. Tuan Guru Hj Said Bin Abdul Salam, besut Terengganu (1897) 21. Hj. Muhammad Said Bin Hj. Jamaluddin, Negeri Sembilan 22. Tengku Mahmud Zuhdi Bin Tengku Abdul Rahman al-Fatani, Syaikh al-Islam Kerajaan Selangor (1956) 23. Syeikh Wan Daud Bin Syeikh Mustafa al-Fatani, Makkah (1936) 24. Syeikh Wan Muhammad Nor Bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani, Makkah (1944) 25. Hj. Muhammad Saleh, Qadhi Kemboja. 26. Hj. Muhammad Jabbar Khatib Bin Hj. Muhammad Arif, Maharaja Imam Kerajaan Sambas, Kalimantan. 27. Syeikh Muhammad Saad Mongka, Paya Kumbuh, Sumatra (1339 H) 28. Maulana Syeikh Sulaiman al-Rusli, Condong, Bukit Tinggi, Sumatra (1970) 29. Syeikh Mustafa Husin, Purba, Mendahiling, Sumatra (1955) 30. Syeikh Hasanuddin Bin Syeikh Maksum, bergelar Imam Paduka Tuan, mufti Kerjaan Deli, Sumatra 31. Tuan Guru Hj. Wan Abdullah Bendang Gucil, Patani ( 1913) 

sebelum ngaji…kenali dulu pengarangnya….

Leave a Reply

Your email address will not be published.