Jangan segan untuk menuntut ilmu

DALAM kitab berjudul Shafahat min Sabr al-‘Ulama’ ‘ala Shadaid al-‘Ilm wa al-Tahsil yang ditulis oleh Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, terdapat perkongsian berharga berkenaan pengorbanan ulama salaf soleh dalam menuntut ilmu.

Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah menukilkan kata-kata hikmah sebahagian ulama salaf soleh: “Cerita-cerita itu merupakan tentera daripada tentera-tentera Allah Taala, Allah menguatkan dengannya (tentera) akan hati-hati para waliNya (kekasihNya).”

1) Salah seorang pengasas mazhab muktabar dalam Ahli Sunnah wal Jama’ah (mazhab Hanafi) iaitu Imam Abu Hanifah berkata: “Cerita-cerita tentang para ulama dan kebaikan mereka itu lebih aku sukai daripada mempelajari banyak masalah dalam ilmu fekah kerana cerita-cerita itu merupakan adab dan akhlak para ulama.”

Menurut Imam Ibn al-Jauzi, cerita terbabit adalah hadiah yang berharga daripada syurga.

Baginya cerita berkenaan perjalanan hidup dan sejarah mempunyai banyak manfaatnya.

Ia mengandungi perkara hebat yang mana hati manusia yang mendengarnya akan memperoleh kerehatan dan ketenangan.

2) Menurut riwayat dalam kitab Sahih Muslim, seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Saidina Abu Zar al-Ghifari menghadapi cabaran dalam perjalanannya untuk menuntut ilmu dengan Nabi SAW.

Saudaranya yang bernama Unais memberitahu bahawa terdapat seseorang lelaki dituduh sebagai tukang syair dan dukun di Makkah.

Kebetulan Unais juga pensyair, maka Unais mendengar sendiri ungkapan syair dari lelaki terbabit.

Beliau yang berpengalaman dalam syair ini yakin bahawa apa yang didengarinya itu bukan syair seperti yang didakwakan.

Maka beliau yakin lelaki terbabit adalah seseorang yang benar.

Justeru, Abu Zar ingin menemui lelaki yang dimaksudkan terbabit di Makkah.

Namun, ketika bertanya penduduk Makkah mengenai lelaki terbabit maka mereka menyedari bahawa lelaki yang dicari terbabit adalah orang yang meninggalkan agama nenek moyang mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.

Lantas mereka memukul Abu Zar sehingga pengsan dan berdarah.

Beliau tidak makan selama sebulan melainkan hanya minum air zam zam sehingga ia berjaya menemui Nabi SAW.

Ini cabaran yang dihadapi Abu Zar dalam mencari ilmu agama yang dibawa Nabi SAW.

3) Menurut Imam al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad, seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Saidina Jabir mendengar berita terdapat seseorang yang bernama Saidina Abdullah ibn Unais mendengar sesuatu hadis dari Nabi SAW secara langsung yang ketika itu berada di Syam.

Beliau segera membeli unta dan bekalan untuk menuju ke sana yang mengambil masa selama sebulan perjalanan yang mana tujuannya hanya ingin mengetahui satu hadis.

Beliau bimbang jika salah seorang daripada mereka (yakni Jabir atau Abdullah) meninggal dunia yang menyebabkan ia terlepas peluang mengetahui hadis terbabit.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang turut meriwayatkan kisah Jabir ini menyatakan bahawa: “Hadis ini menceritakan kesungguhan para sahabat dalam memperolehi sunnah-sunnah Nabawi (ilmu tentang hadis).”

Beliau juga menukilkan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal berkenaan kelebihan bagi seseorang itu menuntut ilmu meskipun di tempat yang jauh iaitu dapat mengenal ramai ulama, mencontohi akhlak mereka dan memanfaatkan ilmu mereka.

Menurut orang Arab, kesabaran seperti keldai merujuk kepada maksud ia dilihat hina dan tidak menjadi tumpuan dan bersegera seperti buruk gagak merujuk sikap burung terbabit yang segera keluar dan pulang mencari makanan.

Ini perumpamaan sikap seseorang yang mencari ilmu meskipun ia dilihat hina atau tidak popular, ia tetap bersabar mencari ilmu.

Ia juga suka mengembara untuk mencari ulama bersegera mencari ilmu, tidak menangguh-nangguhkannya dan bertawakal kepada Allah setelah berusaha.

Semoga cerita pengalaman ulama salaf soleh dalam mencari ilmu ini dapat menguatkan hati-hati pembaca dalam berazam untuk mengembara menemui ulama, bersabar dan bersegera dalam mencari ilmu.

Sebagaimana yang dinukilkan oleh Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah bahawa: “Perbanyakkanlah kalian membaca dan mendengar cerita-cerita kerana ia merupakan mutiara-mutiara yang berharga dan barangkali ia adalah mutiara yang tiada tolok bandingnya.”

Semoga bermanfaat bagi penuntut ilmu.

Jangan penat pergi menuntut

Leave a Reply

Your email address will not be published.